Something good that i want to share n hope kita semua dapat amalkan. aminnn
Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Semua ibu bapa mahukan anak-anak
berjaya dalam pelajaran mereka. Orang biasanya tidak tanya
berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang
diperolehi anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR
dan SPM. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi
tajuk perbualan dikalangan jiran tetangga, sanak saudara dan
rakan sejawat. Tekanan inilah yang menyebabkan ramai ibu bapa
cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu anak-anak mereka
cemerlang dalam pelajaran. Yang mampu, sanggup berbelanja besar
menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh
guru-guru pakar. Tekanan yang diterima dari masyarakat ini
membuatkan ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya
cemerlang.
Sebelum kita menekan anak-anak
cuba semak diri kita dahulu. Adakah kita telah memainkan
peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan
kecemerlangan tersebut?
Berikut adalah perkara yang perlu
diteliti dan dipraktikkan:
Menyediakan keperluan asas
seperti buku, peralatan, tempat belajar dll.
Kelengkapan yang cukup adalah
penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa.
Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi kita
tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah
rendah. Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh
membuatkan seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan
serta minat belajar. Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan
anak memberi alasan untuk tidak belajar dan sesetengah mereka
terpaksa berhadapan dengan kemarahan guru. Pakaian atau beg
koyak boleh membuatkan anak malu dengan rakan-rakan dan tidak
gembira untuk ke sekolah. Oleh itu sebagai ibu bapa,
tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini
sentiasa, bukan sekadar diawal tahun sahaja.
Sediakan satu bilik atau satu
ruangan untuk anak-anak belajar di rumah. Pastikan ruangan ini
selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan. Pastikan juga
cahaya mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke
semasa bagi mengekalkan motivasi diri anak dan mood belajar
mereka.
Tidak ragu-ragu untuk
disiplinkan anak
Pelajar cemerlang adalah pelajar
yang berdisiplin. Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu
mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik,
pengurusan masa, pengurusan diri serta tingkah laku mereka.
Galakkan anak-anak mengemas biliknya sendiri meskipun ada
pembantu rumah yang boleh melakukannya. Pupuk sifat bertanggung
jawab dan berdikari dalam diri anak. Duduk dengan anak dan
bicangkan jadual harian mereka. Terangkan pada anak-anak betapa
pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar,
beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan
sebagainya. Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab
anak-anak bukannya robot yang boleh menepati waktu setiap hari.
Anak cemerlang adalah mereka yang ada peraturan sama ada di
rumah atau di luar. Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai
ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka.
Mengawasi dan menemani anak
Ibu bapa boleh meningkatkan
komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan
menemani anak ketika waktu belajar mereka. Untuk anak-anak
peringkat sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan
apabila anak-anak mula meningkat ke sekolah menengah secara
beransur-ansur ibu bapa biarkan anak-anak berdikari. Dengan
cara ini tabiat belajar dalam masa yang ditetapkan menjadi
kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta
kemahuan mereka.
Sabar dalam mengajar
Mengajar anak sendiri memerlukan
kesabaran yang tinggi. Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar
lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar
anak-anak dalam pelajaran mereka. Mereka geram kerana anak-anak
mungkin tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan
sebagainya. Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka
tidak mungkin seperti kita. Lagi dimarah lagi tertutup minda
dan buntu fikiran mereka. Mereka akan lebih takut untuk buat
salah lalu tidak mahu mencuba. Kalau mampu, ajarlah anak-anak
strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori dan
sebagainya. Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan
diri mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran
adalah kunci segalanya.
Selalu berbincang dengan guru
kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah
Kenali siapa guru anak-anak kita
dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan mereka.
Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan
dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya
dan sebagainya. Apabila berpeluang tawarkan diri untuk
melibatkan diri dalam PIBG dan aktiviti sekolah. Dengan cara
ini guru-guru tahu siapa kita dan mereka juga akan berikan
perhatian yang lebih baik kepada anak-anak kita. Malah
kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang untuk
terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan
meningkatkan ‘self-esteem’ mereka. Anak-anak juga akan lebih
menjaga disiplin serta pelajaran mereka kerana mereka sedar
bahawa perkembangan diri mereka cepat dimaklumkan oleh guru
kepada ibu bapa. Komitmen anak-anak secara langsung akan
meningkat terhadap pelajaran mereka.
Ikuti perkembangan dan kemajuan
anak di sekolah
Jangan tunggu hingga anak bawa
pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak. Kerana ketika
itu sudah agak terlambat untuk bertindak. Ibu bapa hendaklah
mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa.
Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada.
Cari penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal
mungkin. Kalau anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah
mereka ke kelas-kelas tuisyen untuk subjek-subjek tertentu yang
mereka perlu dibantu. Kalau anak-anak lemah dari segi sahsiah
maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk motivasi.
Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal dalam
pelajaran mereka. Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada
kebolehan dan masa depan. Pemikiran yang salah sebegini akan
membuatkan mereka hilang minat dan malas untuk berusaha.
Akhirnya, mereka fikir buat apa belajar kalau sudah tahu diri
akan gagal. Mereka mulalah terpengaruh dengan rakan-rakan yang
negatif dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial.
Kenali rakan-rakan anak dan ibu
bapa mereka
Rakan-rakan adalah orang penting
kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti serta
imej mereka. Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin
maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka
bermasalahlah nanti. Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita
ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi,
dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli sesuatu yang
mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya. Simpan nombor
telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa
mereka. Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu
bapa agar semuanya dapat ambil berat akan perkembangan
anak-anak. Ia memudahkan kita menasihati bukan sahaja anak kita
tetapi juga rakan-rakan mereka kelak. Begitu juga dengan ibu
bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu untuk menegur
dan menasihati anak kita. Dengan cara ini anak kita dan
rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran
hanya kerana utamakan pergaulan.
Sentiasa mengintai peluang yang
boleh memajukan anak
Dalam kehidupan kita seharian
terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk
memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka. Ibu
bapa cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan
untuk kebaikan anak-anak. Kecemerlangan anak-anak dalam bidang
yang tiada kaitan dalam pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum,
sukan, persatuan dan sebagainya boleh menjadi perangsang untuk
mereka cemerlang dalam bidang pelajaran.
Disamping itu, program-program
seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran
belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh
menjadi faktor yang meningkatkan lagi pelajaran mereka. Ini
berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah megikuti program
Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan. Ada diantara
anak-anak mendapat lonjakan markah yang cukup ketara setelah
mendapat bimbingan dan motivasi.
Jadikan budaya membaca sebagai
suatu amalan
Masyarakat Malaysia terkenal
sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila
bahan bacaan tersebut berbentuk ilmiah. Penyakit ini menular
dari generasi ke generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang
tidak mantap ilmunya. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam
budaya membaca bermula di rumah. Adakan masa tertentu untuk
membaca seisi keluarga. Bawa anak-anak ke perpustakaan dan ke
kedai-kedai buku. Minat membaca bermula dari ibu bapa sendiri.
Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat membaca ini maka usah
letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak semata-mata.
Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu
bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak.
Memberikan kerjasama sepenuhnya
kepada anak dan hormati waktu belajar mereka
Adalah tidak adil apabila anak
yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan
anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh
mengganggu tumpuan dan emosi mereka. Misalnya, anak-anak yang
bersekolah disuruh masuk bilik dan belajar sedangkan ibu bapa
asyik menonton televisyen, abang berinternet, kakak bergayut di
telefon, adik kecil bising dengan mainannya. Semua ini
memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu
belajar. Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari
keluarga. Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu
belajar maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti
keilmuan. Ahli keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk
membaca akhbar, majalah, buku dan sebagainya. Kalau berinternet
sekalipun, pastikan masa itu digunakan untuk mencari maklumat
bukan untuk berhibur. Adik kecil boleh gunakan masa tersebut
untuk melukis dan mewarna. Malah, ibu bapa boleh gunakan masa
belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu. Dengan cara
begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat
mereka berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya.
Meletakkan harapan berdasarkan
kemampuan diri anak
Tidak ada ibu bapa yang tidak mahu
lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita. Namun begitu,
ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian
anak-anak mereka. Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu
tinggi hingga anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka
mereka mula rasa tertekan. Anak-anak mudah rasakan diri mereka
tidak berguna apabila gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa
dan murung. Keadaan bertambah parah apabila ibu bapa mula
marah-marah setiap kali anak-anak gagal mendapat markah yang
baik. Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam mula
dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar
tuisyen”, “hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah
memang dasar anak pemalas!” dan macam-macam lagi. Cuba
renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan dan puaskan perasaan
kita dengan cara begitu. Adakah ia menjadikan anak kita lebih
bijak? Pastinya tidak. Adakah ia akan mengubah cara anak kita
belajar? Mungkin juga tidak. Ia hanya akan melukakan lagi hati
anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka. Oleh itu, bincanglah
dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu
mereka untuk capai matlamat tersebut. Inilah yang terbaik sebab
anak-anak merasakan sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran
mereka bukan sasaran ibu bapa.
Tidak merendah-rendahkan
kebolehan anak di hadapan orang lain
Manusia mudah percaya apa yang
dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu
mempunyai pengaruh atas dirinya. Begitulah juga anak kita.
Kerap kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya
tanpa berselindung lagi mereka terus menceritakan
keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan anak kepada saya di
depan anak-anak mereka. Misalnya, “anak saya ni malaslah”.
“Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali
ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi. Wajah anak
tiba-tiba berubah. Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah
diri, kecewa, marah dan sebagainya. Lebih buruk lagi mereka
percaya itulah mereka dan tiada apa yang boleh dibuat sebab
mereka telah dilahirkan begitu. Akibatnya, anak tidak akan
bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan kekalkan sikap
tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka
percaya itulah diri mereka yang sebenar.
Kesilapan sebegini dilakukan oleh
ramai ibu bapa tanpa mereka sedari. Jadi mulai hari ini, kalau
mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran
mereka. Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus
lebih kepada kelebihan mereka. Sekiranya ada kelemahan dan
keburukan yang mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan
nasihatlah secara baik. Kalau kesilapan anak-anak menyentuh
soal peribadi mereka, tegurlah secara individu tanpa kehadiran
sesiapa termasuk adik beradik yang lain. Kalau kesilapan
anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas,
buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara
terang-terangan untuk memberi pengajaran kepada yang lain.
Tegur perbuatannya bukan orangnya.
Tidak membanding-bandingkan
kebolehan
Ibu bapa perlu ingat bahawa
kemampuan anak-anak adalah berbeza. Tidak semua boleh berjaya
dalam bidang akademik. Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan
kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai
melukis, bijak bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir
bertukang, dan sebagainya. Oleh itu kenapa mesti dibandingkan
pencapaian mereka? Kalau adik dibandingkan dengan kakak dan
abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa tidak cukup sayangkan
mereka. Kalau perbandingan dibuat dengan rakan-rakan, mereka
akan rasa rendah diri pula. Oleh itu, membandingkan anak tidak
membantu kecemerlangan mereka. Adakah ini bermakna kita tidak
boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada
anak-anak? Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan. Ibu bapa,
lazimnya, menyebut kelebihan dan kejayaan orang lain kepada
anak-anak hanya apabila marah, geram dan kecewa dengan tindakan
dan tingkahlaku mereka. Lain pada masa itu, kita lupa dan tidak
ambil kisah. Sebab itulah anak-anak menolak cara ibu bapa ini.
Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak, jangan
sama sekali dibandingkan dengan sesiapa. Cukup sekadar menegur
dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka. Waktu lain,
ketika tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka
berceritalah tentang kejayaan orang lain serta bagaimana mereka
capai kejayaan tersebut untuk anak jadikan panduan dan
tauladan. Saat sebegini adalah lebih mudah untuk anak
menerimanya kerana mereka lebih terbuka.
Ganjari bukan sahaja hasilnya
tapi juga usahanya
Manusia hanya berusaha tetapi
Allahlah yang akan menentukan hasilnya. Sekiranya ibu bapa
faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa,
putus asa dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam
UPSR atau 8A dalam PMR. Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang
apa keputusan yang bakal diperolehi sebab itu urusan tuhan.
Yang perlu dibimbangkan adalah usaha anak. Dorong anak-anak
untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan. Nyatakan
dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan bukan
perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah
berusaha bersungguh-sungguh. Sebagai bukti, kita berikan
ganjaran terhadap usahanya dan bukan sekadar hasilnya.
Misalnya, kita berjanji untuk berikan ganjaran tertentu
sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka. Namun begitu,
sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar
dapat 4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau
amaun yang berbeza. Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak
kalau dia dapat 8A dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50
ringgit. Sebaliknya kalau dia tidak dapat 8A, kita tetap
berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma dapat RM30
sahaja.
Sentiasa doakan kejayaan anak
Doakanlah kejayaan anak-anak
sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan
sahaja. Doa ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul.
Elakkan dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak
kerana kata-kata kita itu merupakan satu doa. Doakan anak kita
setiap kali kita teringatkan mereka. Misalnya ketika kita sibuk
dipejabat tiba-tiba terdetik di hati apa agaknya anak sedang
buat di rumah? Ketika itu terus berdoa dalam hati dan
insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul
nanti. Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya
terdengar doa ibu. Saya datang dari keluarga yang miskin dan
dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Ibu saya biasanya turun
awal pagi untuk mencari nafkah dan pulang lewat petang dan ada
ketikanya malam. Satu ketika, sedang saya tidur-tidur ayam
terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku mempunyai tiga
anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah aku
salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga
ini.” Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya
tuhanku.. biarlah salah seorang dari penyelamat keluarga itu
adalah aku”. Kemana sahaja saya pergi dan apa sahaja saya
lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa ibu itu. Ia
menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan
dalam hidup saya. Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka
doalah dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka.
Seelok-eloknya ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan
doa kita untuk mereka itu.
Jaga Sumber Makanan
Kita adalah apa yang kita makan.
Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat dan bersih
untuk anak-anak kita. Makanan akan menjadi darah daging
mereka. Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang
haram maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak
yang bermasalah, gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya.
Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara sepenting
ini. Mulai hari semaklah sumber pendapatan kita dan pastikan ia
diredhai dan diberkati Allah s.w.t.
Tidak berputus asa dalam
mengharap rahmat dan pertolongan Allah.
Anak-anak adalah amanah Allah dan
ujian untuk kita. Oleh itu tidak perlu kita berputus asa
apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha
untuk melihat mereka cemerlang. Kalau satu usaha tidak berjaya
carilah usaha yang lain. Kalau satu pendekatan tidak berkesan
maka ubahlah kepada pendekatan yang lain. Tidak ada satu cara
yang tepat dalam membantu anak-anak ke arah kecemerlangan. Lain
anak lain kemahuannya, lain penerimaanya dan lain kebolehannya.
Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan sehingga kita dapat
kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak kita.
Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula
kedekut untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak
ke program-program motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan
sebagainya. Selagi hayat dikandung badan jangan sesekali
berputus asa dalam mengharap rahmat Allah. Apa juga yang datang
ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri serta ujian dari Allah
untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa.
Perlu diingat, anak-anak perlu
seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah dan
kerohanian. Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya.
Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam
akademik jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga
dan wang ringgit untuk membangunkan emosi, sahsiah dan rohani
mereka. Kalau kita malu apabila anak-anak gagal dalam pelajaran
maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak solat, kurang
adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.
Resource : http://www.laman-map.com/e-Majalah/artikel/keluarga/akademik.htm
No comments:
Post a Comment
ur comment?